Daripada
Berita Harian Online, 20 April 2008. Tajuk: Ulul Albab: Meratapi
Andalus Demi Merapatkan Umat, oleh Abdurrahman Haqqi. Permusuhan,
kesenangan serta kecintaan terhadap dunia faktor keruntuhan kerajaan
Islam di Sepanyol.
MENANGISLAH
anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana
kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.” Begitulah ucapan
seorang bonda Raja dalam sejarah Islam di Andalus, Sepanyol. Ia
diucapkan oleh Aisyah kepada anaknya Abu Abdullah daripada puak Bani
al-Ahmar, Raja terakhir kerajaan Islam Granada pada 21 Muharram 897
Hijrah (H) yang memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja
Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era
kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.
Bani
al-Ahmar adalah puak yang menguasai wilayah Islam terakhir di Sepanyol
iaitu Granada daripada 620 H hingga 897 H, pada tahun di mana perjanjian
di atas dimeterai. Perjanjian yang membabitkan 67 perkara itu termasuk
jaminan keselamatan orang Islam di Sepanyol yang pada akhirnya tidak
pernah direalisasikan bahkan selepas 300 tahun kemudian, Islam dan
tanda-tandanya terhakis di bumi Sepanyol, seolah-olah Islam dan
tamadunnya tidak pernah wujud di negara itu walaupun ia pernah menyinari
dan menerajuinya selama 800 tahun. Perjanjian ini akhirnya dimeterai
kerana menerima banyak tekanan daripada orang Kristian Sepanyol termasuk
kejadian paling memilukan dalam sejarah Islam pada 892 H. Pada masa itu
ribuan umat Islam yang dijanjikan boleh menyelamatkan diri dengan
berlayar ke Afrika dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak
berperikemanusiaan.
Dalam
kejadian itu, ribuan umat Islam mati bergelimpangan bermandi darah
selepas tentera Kristian membunuh mereka. Sebelum itu, ketika mereka
bersembunyi di dalam rumah, dengan lantang tentera Kristian membuat
pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka
dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar
dari Sepanyol dengan membawa barang keperluan masing-masing. Tentera
Kristian turut memaklumkan keselamatan orang Islam yang ingin
meninggalkan Sepanyol terjamin. Ramai umat Islam yang meragui tawaran
tentera Kristian itu. Bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri
kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian
mengambil keputusan menerima tawaran itu.
Keesokan
harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa
seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu. Bagaimanapun,
ada umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu terus
bertahan dan bersembunyi di rumah masing-masing. Selepas ribuan umat
Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian
menggeledah rumah yang ditinggalkan mereka sebelum membakarnya. Ribuan
umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera
Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar
dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat
berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Kebanyakan mereka adalah
wanita dan kanak-kanak, sedangkan tentera Kristian mengepung mereka
dengan pedang terhunus.
Selepas
menerima arahan pemimpin, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh
umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan
takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh
warga awam yang sama sekali tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di
pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenang di mana-mana.
Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah
menyedihkan dalam sejarah umat Islam yang tidak boleh dilupakan. Banyak
cerita yang menyayat hati seperti ini dibukukan seperti al-Ihatah fi
Akhbar Gharnatah (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan al-Muqtabas
min Akhbar al-Andalus (Sekelumit Sejarah Andalus), malah seorang ulama
terkenal seperti Ibn Hazam menceritakannya dalam kitab mashurnya
al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal.
Selepas
kejadian itu dan memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada tanda
atau simbol Islam yang kekal di negara itu. Umat Islam juga diugut dan
diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol dengan pelbagai ugutan dan
seksaan yang sangat kejam, mengerikan dan menakutkan dan tidak ada belas
kasihan. Orang Kristian di Sepanyol tidak mahu Islam wujud lagi. Oleh
itu kita dapati umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang mengaku
Kristian padahal mereka seorang Muslim kerana terlalu perit dugaan yang
dialami mereka.
Islam
mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq
bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan
mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol
beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur. Pasukan Islam
tidak saja berhenti di Sepanyol, malah terus meluaskan empayar di negeri
sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon,
Poitou, Tours dan sebagainya jatuh ke tangan umat Islam. Walaupun
pasukan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih
tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah
sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.
Islam
sudah menerangi Sepanyol dan oleh kerana sikap penguasa Islam begitu
baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas
memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka
sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya
membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan
tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.
Penguasa
dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul
Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah
Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang
dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak,
tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan
tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”
Bagaimanapun,
selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap
di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan
Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba
tapi selalu tidak berhasil. Mereka kemudian menghantar perisik untuk
mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui
cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka
dengan serangan pemikiran dan budaya.
Mereka
secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah
Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih
suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim
sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan
umat Islam Sepanyol. Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu
persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di
samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada
peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri
antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai
negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani
Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam
di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui
kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual
agama dan negara demi kepentingan peribadinya.
Sebagai
contoh, Abu Zaid, gabenor daerah Balansiah ketika rakyatnya memberontak
dia membuat perjanjian dengan Raja Kristian Choinawi untuk membantu
memadamkan pemberontakan itu. Sebagai habuannya, Abu Zaid akan
memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi dan membayar ‘jizyah’
tahunan kepadanya. Jizyah dalam Islam mesti dibayar bukan Islam kepada
pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid yang beragama Islam
adalah terbalik apabila berjanji membayar jizyah kepada Choinawi yang
beragama Kristian.
Lapan
ratus tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’
Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa
lain di Eropah, akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara
itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman.
Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah
Andalus pada satu masa dulu. Sepanyol sekarang adalah Sepanyol yang
mempunyai seorang menteri pertahanan wanita, Carme Chacon yang boleh
memeriksa barisan tentera negaranya walaupun dalam keadaan hamil seperti
dilaporkan akhbar pada 14 April lalu.
Sebenarnya
musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh
Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap
ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara. Dengan
mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya
termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus,
permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang
tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan
berlaku di mana-mana. Dan ketika itu ucapan bonda Aisyah pada permulaan
tulisan ini akan terdengar kembali. Wallahu a’lam.
INTI PATI:
Perubahan
hebat berlaku ke atas tamadun di serata dunia tidak terlepas daripada
pengaruh Islam dan kebangkitan tamadun Eropah Barat Moden dicorakkan
oleh Islam yang pernah berkuasa selama 800 tahun di Sepanyol dan
Andalusia. Cahaya Islam pernah meresap masuk menguasai Eropah. Islam
sudah berlabuh di Sepanyol hingga ke tembok Vienna. Islam tidak
memisahkan agama dari negara dan menolak sekularisme dalam bentuk apapun
yang bertujuan memisahkan agama daripada kehidupan yang menjadikan
kehidupan lepas bebas daripada neraca agama. Apabila ketiga-tiga ciri
dapat direalisasikan generasi Islam kini, konspirasi musuh Islam akan
dapat diatasi.
No comments:
Post a Comment